Translate

Penjaga wajar didik anak cara pemakanan sihat


LANGKAH proaktif Kementerian Kesihatan mengeluarkan senarai makanan yang dilarang penjualannya di kantin sekolah bagi membendung masalah obesiti di kalangan pelajar pastinya disambut baik ibu bapa. Kelmarin, sejumlah 15 jenis makanan ‘tidak sihat’ dan kira-kira 70 lagi dihadkan penjualannya di kantin sekolah rendah dan menengah mengikut Garis Panduan Pemakanan Sihat di Sekolah berkuat kuasa bulan depan. Sebagai masyarakat yang semakin prihatin soal pemakanan dan kesihatan diri, kita yakin apa juga langkah kerajaan dalam menangani masalah kegemukan dan diabetes dalam kalangan pelajar akan mendapat sokongan rakyat. Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 mendapati satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti di negara ini. Kajian itu juga mendapati masalah obesiti kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun meningkat daripada 9.7 peratus pada 2001 kepada 13.7 peratus pada 2007, akibat amalan pemakanan tidak sihat dan aktiviti fizikal tidak aktif.

Hakikatnya, 76 peratus kanak-kanak kini didapati menghabiskan sebahagian besar masa menonton televisyen atau duduk di hadapan komputer. Justeru, usaha menangani masalah ini harus dilakukan segera, menerusi pelbagai cara termasuk mengubah tabiat pemakanan. Sebahagian besar makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah dan juga di luar pagar sekolah mempunyai kandungan gula berlebihan dan tidak menyihatkan. Kanak-kanak secara semula jadi sememangnya suka pada sesuatu yang berwarna-warni serta makanan dan minuman manis.
Oleh itu, tidak hairanlah kenapa mereka menyukai gula-gula, coklat, konfeksi ais, aiskrim serta makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan yang sebelum ini dijual tanpa kawalan di kantin sekolah. Kesedaran mengenai kandungan bahan yang menggemukkan membuktikan bahawa akal dan pemikiran rakyat Malaysia sudah semakin matang dan mengutamakan pemakanan sihat. Oleh itu, hasrat kerajaan mengehadkan jenis makanan tidak sihat di sekolah wajar disokong dan dilaksanakan segera di sekolah. Langkah itu sudah tentu akan menimbulkan kesedaran kepada ibu bapa bahawa mereka juga perlu menyediakan menu sesuai untuk seisi keluarga. Ibu bapa disaran supaya mengambil iktibar daripada pelaksanaan program pemakanan sihat di sekolah dengan melakukan perubahan ketika menyediakan makanan di rumah. Mereka juga perlu mengurangkan kunjungan ke restoran makanan segera. Selain mengawal makan minum, setiap keluarga juga perlu mengamalkan budaya hidup sihat dengan melakukan kegiatan sukan dan beriadah. Kita akui semakin banyak keluarga menyedari pentingnya melakukan riadah sekurang-kurangnya satu jam sehari bagi mengekalkan tahap kesihatan masing-masing. Selain menikmati badan yang sihat, riadah bersama keluarga dapat mengeratkan hubungan di antara anak dan ibu bapa. Bagi menjayakan setiap program pemakanan sihat di kalangan rakyat, kerajaan juga harus mengawal iklan yang mempromosikan produk makanan tidak berkhasiat, termasuk makanan segera menerusi media. Ketegasan pihak penguat kuasa di sekolah amat diperlukan agar pelaksanaannya tidak dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Keberkesanan langkah itu bukan hanya terletak di tangan pentadbir sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.

0 comments: