Amat malang sekali apabila penyu, haiwan marin yang dikatakan wujud sejak akhir zaman Jurassic iaitu 145 hingga 208 juta tahun lalu, kini berada diambang kepupusan.
Berdasarkan maklumat diperoleh daripada ensiklopedia bebas, Wikipedia, penyu dipercayai dari susur galur Archelon yang bersaiz enam meter panjang ataupun penyu Cimochelys, yang berenang di laut silam, tidak jauh bezanya.
Walaupun boleh menyelam dan berada dalam air untuk tempoh yang lama, haiwan reptilia itu sekali sekala perlu timbul ke permukaan air untuk bernafas.
Ia juga antara haiwan yang dikatakan mempunyai jangka hayat yang panjang, mengikut kajian ia boleh mencapai 100 tahun namun kini boleh dikatakan kesemua spesies penyu yang ada pendek hayatnya dan diancam bahaya kepupusan disebabkan faktor semulajadi dan ancaman manusia sepanjang hayat mereka.
Telur penyu menjadi kegemaran manusia dan haiwan lain, anak penyu yang baru menetas dari sarang juga menghadapi cabaran getir untuk ke laut kerana biasanya akan ada pemangsa kelaparan seperti biawak dan burung yang setia menunggu di tepi sarang untuk menjamu selera.
Di lautan pula, ancaman pukat nelayan menjadi penyumbang utama kematian penyu. Namun masih ada pihak yang prihatin dan berusaha untuk meningkatkan kembali populasi spesies terancam itu.
PUPUK KESEDARAN
Di Malaysia, Unit Penyelidikan dan Pemuliharaan Penyu (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), antara agensi yang menggalas tanggungjawab itu dengan menjalankan pelbagai kajian, pendidikan dan aktiviti pemuliharaan sejak tahun 1993.
Menerusi program Sukarelawan Penyu unit itu, orang ramai termasuk dari luar negara diberi peluang terlibat secara langsung dalam aktiviti pemuliharaan penyu.
Unit berkenaan diasas oleh bekas pensyarah UMT, Prof Dr Chan Eng Heng dan Prof Madya Liew Hock Chark, namun selepas kedua-duanya bersara, unit itu kini diterajui Dr Juanita Joseph.
Juanita, 36, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, yang juga pensyarah di Jabatan Sains Marin, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin UMT berkata program sukarelawan penyu adalah program yang dijalankan oleh kebanyakan pusat pemuliharaan penyu di seluruh dunia.
Ia juga merupakan satu daripada langkah diambil dalam menangani kepupusan penyu selain penyelidikan dan pendidikan.
"Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dan memberi peluang kepada orang ramai untuk terlibat dengan aktiviti pemuliharaan penyu, serta untuk membiayai projek pemuliharaan penyu di Chagar Hutang," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
AKTIVITI PEMULIHARAAN STANDARD
Aktiviti yang disusun menerusi program ini merupakan aktiviti standard yang dilaksanakan dalam pemuliharaan penyu di seluruh dunia, dengan kebanyakan masa sukarelawan diisi dengan pemantauan aktiviti persarangan penyu, menjaga sarang daripada pemangsa, menganalisis sarang yang telah menetas, pembersihan pantai dan membantu dalam kerja-kerja penyelidikan.
Empat spesies penyu mendarat di negara ini ialah penyu agar (green turtle) atau nama saintifiknya Chelonia mydas, penyu karah (hawksbill turtle) atau nama saintifiknya Eretmochelys imbricata, penyu lipas (olive ridley turtle) atau nama saintifiknya Lepidochelys olivacea dan penyu belimbing (leatherback turtle) atau nama saintifiknya Dermochelys coriacea.
Bagaimanapun, pantai Chagar Hutang di Pulau Redang hanya menerima kedatangan penyu jenis agar dan karah. Pulau Redang merupakan satu daripada 10 pulau paling cantik di dunia yang diisytiharkan sebagai santuari penyu pada tahun 2005.
Dari tahun 1993 hingga 2004, SEATRU telah membelanjakan RM500,000 untuk membeli telur penyu daripada pemajak telur berlesen dengan harga RM120 untuk sarang penyu agar dan RM150 untuk sarang penyu karah.
Dana unit berkenaan banyak diperoleh daripada kerajaan pusat, kerajaan negeri syarikat korporat dan pihak swasta, selain hasil jualan cenderahati serta yuran penyertaan aktiviti sukarelawan, jelas Juanita.
SAMBUTAN MENGGALAKKAN
Sehingga kini, SEATRU menerima kira-kira 3,000 sukarelawan dari Malaysia, Singapura, Jerman, United Kingdom, Perancis, Australia dan China sejak program itu dimulakan pada 1993.
Untuk tahun ini, Program Sukarelawan Penyu SEATRU bermula pada 3 April sehingga 2 Okt 2010 namun semua 30 slot yang ditawarkan telahpun penuh diisi peserta tempatan dan luar negara.
"Sambutan untuk program ini sangat menggalakkan walaupun tiada iklan besar-besaran dibuat. Biasanya mereka yang berminat menyertai program sukarelawan ini tahu daripada rakan atau saudara yang pernah mengikutinya.
"Saya agak terkejut menerima lebih 200 e-mail dalam masa sejam sebaik sahaja pendaftaran dibuka secara online bermula 14 Feb lepas melalui laman web SEATRU," kata Juanita sambil menjelaskan peserta mestilah berumur 18 tahun ke atas.
Setiap sukarelawan akan berada di pulau itu selama seminggu untuk setiap slot, di mana setiap slot disertai lapan sukarelawan.
DILARANG HAMPIRI PENYU SEDANG BERTELUR
Tugas sukarelawan, yang dibantu pembantu penyelidik, akan bermula pukul 7 petang dengan rondaan di pantai dan sekiranya terdapat penyu yang mendarat untuk bertelur sukarelawan akan diarah untuk berada pada jarak yang tidak mengganggu proses penyu bertelur.
"Biasanya kehadiran penyu boleh diketahui dengan melihat tapak atau bekas yang ditinggalkan oleh penyu sewaktu merangkak naik ke pantai.
"Apabila penyu menjumpai tempat yang sesuai untuk bertelur, penyu akan mula membuat 'body pitting' sebelum mula menggali lubang sarang. Keseluruhan proses penyu bertelur akan mengambil masa antara 3 dan 5 jam," katanya.
Sukarelawan hanya dibenar menghampiri apabila penyu telah selesai bertelur.
Oleh kerana penyu sangat sensitif kepada cahaya, penggunaan cahaya di kawasan pantai adalah dilarang termasuk penggunaan cahaya kamera pada waktu malam.
RONDAAN ELAK SARANG DICEROBOH
Selepas tengah malam, rondaan secara syif oleh sukarelawan dengan pekerja SEATRU akan dilakukan secara bergilir-gilir sehingga pukul 6 pagi.
Pada waktu siang pula, sukarelawan akan bergilir-gilir membuat rondaan pantai bagi memastikan sarang penyu tidak diganggu atau dimakan oleh pemangsa seperti biawak.
Sebelah petang sukarelawan akan terlibat dengan aktiviti memeriksa sarang yang telah menetas atau dieram melebihi 45 hari yang bertujuan bagi memastikan kadar penetasan anak penyu dan untuk mengetahui punca telur tidak menetas.
"Daripada kajian yang dijalankan pada tahun 2000, kita dapati jantina penyu ditentukan oleh suhu di mana telur itu dieram, dengan penyu jantan biasanya dihasilkan di kawasan sarang redup manakala penyu betina di kawasan sarang yang suhunya agak panas," kata Juanita.
Bagaimanapun, daripada pemerhatian di santuari berkenaan, ibu penyu yang naik bertelur di pantai dengan sendirinya memilih kawasan redup atau panas untuk dijadikan sarang, membolehkan eraman dilakukan secara in-situ, dan telur tidak perlu dialihkan.
"Berikutan itu di Chagar Hutang, jantina penyu yang dihasilkan adalah seimbang. Kadar penetasan juga memberangsangkan dengan 77 peratus sehingga 89 peratus telur atau 350,000 penyu agar dan 7,000 penyu karah berjaya menetas dari tahun 1993 hingga tahun lepas," katanya.
PELUANG HAYATI KEINDAHAN
Selain aktiviti pemuliharaan yang disusun oleh SEATRU, sukarelawan juga mempunyai banyak masa bebas untuk melakukan aktiviti masing-masing.
"Inilah peluang untuk sukarelawan menghayati alam semulajadi, tanpa gangguan telefon ataupun internet... Ada juga yang mulanya bersungut kerana rindukan Facebook tetapi lama-kelamaan mereka tak kisah kerana masa diisi dengan pelbagai aktiviti," katanya.
Selain penyu, Chagar Hutang juga mempunyai hidupan liar lain seperti kancil, tupai, pelbagai jenis rama-rama dan kupu-kupu, kelawar dan burung.
"Kawasan teluk Chagar Hutang ini yang dikenali sebagai 'Turtle Bay' juga mempunyai pelbagai spesies batu karang dan ikan yang cantik dan berwarna-warni. Aktiviti snorkeling di kawasan teluk ini memang sangat digemari oleh sukarelawan," katanya.
Sukarelawan juga biasanya tidak akan melepaskan peluang mendaki 'Turtle Rock', bongkah batu menyerupai bentuk penyu yang menurut orang kampung di pulau itu faktor 'penarik' penyu untuk bertelur di kawasan itu.
Mereka boleh juga menguji 'keberanian' masing-masing dengan membenarkan kaki mereka dibersihkan udang di 'prawn spa'.
"Gigitan udang di kawasan anak sungai yang mengalir dari bukit di Chagar Hutang ini tidaklah terlalu sakit tetapi ramai yang tidak mampu bertahan lama. Rekod paling lama setakat ini hanya 20 minit," katanya.
Kemudahan di Chagar Hutang adalah sangat minimum bagi mengekalkan suasana dan keindahan semulajadi untuk dinikmati para sukarelawan terutama bagi mereka yang menetap di kawasan bandar.
Selain pemuliharaan hidupan liar, SEATRU juga menjaga kawasan Chagar Hutang daripada pencemaran dengan bahan buangan 'biodegradable' akan dikompos, manakala sampah lain dibawa ke pusat pengumpulan sampah di Pulau Redang sebelum dihantar ke tanah besar.
Penggunaan sabun mandi dan syampu adalah dihadkan dan penggunaan tisu tandas adalah dilarang sama sekali.
RANCANG PROGRAM SUKARELAWAN
Program sukarelawan ini juga mengenakan bayaran yang boleh dikatakan 'murah' berbanding pengalaman manis yang bakal menjadi kenangan.
Bagi pelajar tempatan dikenakan bayaran sebanyak RM300 berbanding pelajar antarabangsa US$150 manakala penduduk tempatan yang bekerja dikenakan RM500 berbanding peserta antarabangsa yang bekerja sebanyak US$250.
Untuk tahun depan, Juanita berkata SEATRU akan membuka peluang kepada syarikat korporat dengan tempahan mula dibuka pada Jun ini.
skip to main |
skip to sidebar
Translate
Followers
!-end>!-local>
1 comments:
Sebaiknya tepi laut dipagar untuk pelihara anak penyu sehingga besar sedikit sebelum dilepaskan ke laut. Dapat mengurangkan risiko kematian anak penyu yang kecil sangat untuk berdikari.
Post a Comment