Translate

Hidupan Marin Dipulihara Di Taman Pulau Sipadan

Hidupan marin di kawasan perairan Taman Pulau Sipadan menerima kesan yang positif setelah kerajaan membuat keputusan tidak membenarkan pusat peranginan beroperasi di pulau itu sejak lima tahun lepas di samping menghadkan jumlah pelancong harian.

Ekspedisi Saintifik Marin Taman Pulau Sipadan 2010 dari 26 hingga 30 April lepas, yang dijalankan buat pertama kalinya selepas keputusan kerajaan itu mendapati kesan positif terhadap hidupan marin seperti batu karang, ikan, penyu dan rumpai laut.

Keadaan sekarang akan membolehkan persekitaran pulau itu tidak terganggu oleh aktiviti pelancongan dan terus menjadi lokasi pilihan penyelam scuba dari seluruh dunia.

KAWASAN PEMAKANAN PENYU

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Pensyarah Jabatan Sains Marin UMT Dr Juanita Joseph mendapati penyu muda lebih banyak ditemui dan ini jelas menunjukkan peningkatan populasi penyu di Pulau Sipadan dalam tempoh lima tahun adalah amat memberangsangkan.

Penyu muda ini ditemui di perairan taman Pulau Sipadan yang merupakan kawasan pemakanan penyu yang utama di rantau Asia Tenggara.

"Ini terbukti, sepanjang ekspedisi berjalan, didapati 50 hingga 60 ekor penyu dapat dilihat dalam sehari di kawasan pemakanan itu," katanya.

Menurut beliau kaedah yang digunakan dalam kajian penyu itu adalah tangkap dan tanda bagi tujuan anggaran saiz penyu di kawasan pemakanan.

Pengambilan sampel darah daripada penyu yang ditangkap juga dilakukan untuk kajian genetik dan sebagai kesinambungan dari kajian yang telah dijalankan sejak tahun lepas, katanya.

Dr Juanita berkata sepanjang ekspedisi itu sebanyak 42 ekor penyu jenis Agar dan Sisik berjaya ditangkap untuk kajian.

Bagi jumlah penyu yang naik untuk bertelur di sekitar pantai taman Pulau Sipadan, Dr Juanita berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan kerana tiada data lengkap direkodkan sejak tahun lepas bagi tujuan perbandingan.

Katanya, perwartaan Pulau Sipadan sebagai sebuah taman di bawah TTS memberi manfaat kepada hidupan penyu agar habitat ini terpulihara seterusnya menjamin kadar pertambahan populasi penyu di kawasan pemakanan dan kawasan selamat untuk penyu bertelur.

Ekspedisi kali ini berjaya merekodkan penemuan baru spesies rumpai laut yang dikenali sebagai Halophila Minor, menjadikan enam spesies rumpai laut termasuklah yang telah direkodkan iaitu spesies Cymodocea rotundata, Halophila ovalis, Halodule uninervis, Halodule pinifolia dan Thalassia hemprichii spesies rumpai laut ini hanya terdapat di perairan Pulau Sipadan.

Irwan Isnain dari TTS yang mengetuai kumpulan penyelidikan itu berkata, kawasan rumput di sekitar taman pulau ini amat luas meliputi garisan pantai sehingga ke kawasan terumbu karang dan merupakan pusat tarikan pemakanan penyu.

POPULASI IKAN BERTAMBAH

Dalam ekspedisi ini juga, kumpulan penyelidik ikan menemui dua spesies ikan terancam iaitu Humphead Wrasse atau Ikan Maming dalam panggilan tempatan dan Humphead Parrotfish atau Ikan Kat, yang membuktikan populasi ikan itu selamat di perairan Taman Pulau Sipadan daripada aktiviti manusia.

Dr Mabel Manjaji dari UMS yang mengetuai kumpulan penyelidik juga mendapati limpahan ikan kerapu terumbu karang sangat tinggi dan ini merupakan petunjuk untuk sistem terumbu karang yang berkualiti tinggi.

Kehadiran ikan berkumpulan juga direkodkan dalam kajian itu seperti Barracuda, Jackfish dan Humphead Parrotfish yang menunjukkan kumpulan ikan itu mudah untuk dijumpai pada masa sekarang berbanding lima tahun lepas.

"Ini menunjukkan keputusan kerajaan menghadkan pelancong ke pulau ini untuk menyelam memberikan impak positif dan menggalakkan kembalinya ikan-ikan ini di perairan taman Pulau Sipadan," kata Dr Mabel.

BATU KARANG LEBIH SIHAT

Kehadiran ikan-ikan itu di perairan taman Pulau Sipadan juga disumbang oleh taburan dan populasi batu karang di sekitar perairan taman itu yang lebih sihat berbanding lima tahun lepas.

Kumpulan penyelidik batu karang dalam ekspedisi ini yang diketuai Daud Awang dari Jabatan Perikanan Malaysia mendapati, sejak lima tahun lepas, banyak batu karang juvenil atau individu batu karang baru tumbuh direkodkan.

Beliau mencadangkan kepada pihak TTS supaya selepas ini pemantauan aktiviti penyelam di sekitar perairan taman Pulau Sipadan dilakukan bagi memastikan kegiatan itu tidak merosakkan batu karang.

Setiap penyelam perlu dipastikan beretika ketika melakukan aktiviti itu antaranya tidak menyentuh batu karang dan berhati-hati ketika menyelam supaya tidak mengenai batu karang.

Dalam pada itu, kajian mengenai kepelbagaian alga di taman Pulau Sipadan mendapati pulau ini mempunyai kepelbagaian alga yang tinggi.

Dr Normawaty Mohd Noor dari UMS yang melakukan kajian itu berkata alga boleh digunakan sebagai petunjuk untuk menunjukkan tahap kualiti air di sesuatu kawasan.

Kepelbagaian spesies yang tinggi menunjukkan kawasan perairan taman Pulau Sipadan berada dalam keadaan yang baik.

Ekspedisi Saintifik Marin Taman Pulau Sipadan 2010 telah mencapai objektifnya bagi mengesan hidupan marin di kawasan perairan Taman Pulau Sipadan yang akhirnya menerima kesan positif hasil keputusan kerajaan tidak membenarkan pusat peranginan beroperasi dan menghadkan jumlah pelancong masuk ke Pulau Sipadan.

0 comments: