Translate

Flora dan fauna di Silam

Para penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membongkar kepelbagaian bio hutan simpan Sabah yang mempunyai potensi pelancongan.


LEMBAH Danum kaya dengan pelbagai biodiversiti yang boleh dijadikan tarikan pelancongan.

ABDUL LAHIL SARAIL kagum melihat pelbagai spesies serangga, amfibia dan reptilia pada poster-poster yang dipamerkan pada pameran di Dewan Sri Kunak, Kunak, Sabah baru-baru ini.

Anak kelahiran Kunak yang berusia 42 tahun itu belum pernah melihat pelbagai jenis binatang seumpama itu meskipun gambar-gambar tersebut dirakamkan oleh para penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di hutan simpan yang berhampiran Lembah Danum, Tabin dan Madai itu.

Antara gambar serangga yang dipamerkan ialah serangga kayu, rama-rama, labah-labah dan banyak lagi yang begitu asing kepada kebanyakan pengunjung.

Pameran itu dianjurkan bersama oleh UKM dan wakil kawasan Parlimen Silam dan kawasan Dewan Undangan Negeri Kunak.

Menurut seorang daripada anggota kumpulan penyelidik berkenaan, Prof. Madya Dr. Norhayati Ahmad, terdapat kemungkinan lebih banyak spesies reptilia, amfibia dan serangga di hutan simpanan Sabah yang masih belum ditemui dan mungkin tidak boleh didapati di Semenanjung Malaysia.

"Terima kasih kepada UKM kerana mengendalikan aktiviti (penyelidikan) yang sebegitu baik di Silam. Saya belum pernah melihat atau terlintas dengan kewujudan kebanyakan serangga, reptilia dan amfibia yang dipaparkan dalam gambar pada pameran itu.

"Semuanya cantik-cantik dan menarik," kata Abdul Lahil seorang petugas di Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Lahil adalah antara beratus-ratus penduduk Kunak yang berada di dewan pameran itu bagi menyaksikan majlis pelancaran Kerjasama Penyelidikan UKM-Silam.

Obkjektif

Objektif penyelidikan berkenaan ialah untuk mengenal pasti potensi berasaskan ekonomi Silam dalam pelbagai sektor termasuk pertanian dan pelancongan di samping pembangunan sumber manusia dan kesihatan.

Data yang dikumpulkan itu pula mungkin berfaedah untuk kegunaan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan bagi tujuan merangka pembangunan masa depan Silam untuk faedah penduduk tempatan.

"Silam mempunyai potensi ekonomi dan pelancongan yang masih belum diterokai dan dibangunkan dengan sebaik mungkin. Lembah Danum dan Hutan Simpanan Tabin yang kaya dengan biodiversiti juga ada di sini.

"Gua Madai yang dikenali dengan sarang burung juga terdapat di sini. Dipercayai terdapat kawasan tinggalan ketamadunan awal manusia di Silam berdasarkan kepada hasil kajian Muzium Sabah manakala Islam di Sabah dipercayai disebarkan dari Silam," kata Saleh.

Silam juga kaya dengan sumber marin yang mempunyai potensi besar untuk diterokai dan dimajukan melalui industri akuakultur untuk faedah ekonomi kepada rakyat.

"Saya dimaklumkan oleh seorang penyelidik UKM bahawa hidupan marin di Teluk Darvel seperti terumbu karang adalah lebih cantik berbanding di Pulau Sipadan," katanya.


ADA penyelidik berpendapat hidupan marin di Teluk Darvel lebih cantik berbanding Pulau Sipadan.


Pasukan penyelidik

Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof. Dr. Salmijah Surif yang mengetuai misi universiti itu berkata, penyelidikan itu akan dikendalikan secara holistik berasaskan sumber yang terdapat di kawasan Parlimen Silam yang merangkumi daerah Kunak dan Lahad Datu dan daerah kecil Tungku.

"Kami mempunyai pasukan penyelidik dalam kesihatan, pendidikan, pasukan yang menjaga flora dan fauna di Silam dan yang menjaga sektor pelancongan. Kami turut membawa satu pasukan dari Fakulti Pengajian Islam dari UKM untuk menjalankan penyelidikan bagaimana Islam berkembang di Silam kerana ada sesetengah percaya bahawa Silam adalah antara tempat yang terawal menerima kedatangan Islam di Sabah.

Salmijah berkata, UKM akan menerbitkan sebuah buku berjudul Glimpses of Silam (Sekilas Silam) yang mengandungi koleksi gambar dan data semasa pasukan penyelidikan berkenaan melakukan lawatan pertama dan kedua ke Silam.

Beliau berkata, buku berkenaan kini sudah 80 peratus siap.

Dana

Mengenai langkah seterusnya bagi penyelidikan itu, Salmijah berkata, pasukan berkenaan telah merangka satu cadangan penyelidikan.

"Dalam sebarang penyelidikan, dana amat penting. Untuk mendapatkan dana untuk penyelidikan, kita perlu tampil dengan satu cadangan yang komprehensif dan menyakinkan untuk dikemukakan kepada pihak yang berminat bagi mendapatkan dana penyelidikan," kata beliau.

"Saya perhatikan pelancongan adalah satu aspek yang perlu diberi penekanan dalam projek kami. Bahan (sumber) telah sedia ada. Apa yang perlu dilakukan hanyalah bagaimana untuk menggunakannya. Jadi dengan berbekalkan kepakaran, kami akan membantu sedaya yang mungkin," katanya.


RAMA-RAMA antara spesies serangga yang ditemui di Silam.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkongsian Universiti-Komuniti UKM, Prof Dr. Ismail Bahari berkata, sebuah kawasan air panas dan kawasan kolam lumpur di Kunak mempunyai potensi besar dalam tarikan pelancongan.

Beliau yang juga salah seorang daripada anggota pasukan penyelidikan berkata :

"Kita mungkin rugi sekiranya kawasan air panas berkenaan tidak dipulihara dan kolam lumpur berkenaan tidak dimajukan sebagai satu tarikan pelancongan. Inilah keistimewaan Kunak," kata Ismail yang merupakan salah seorang daripada anggota penyelidikan terbabit.

1 comments:

Rafi Harumin said...

malunya.. abang sendiri orang sabah tapi belum round habis negeri sabah... :(