Penunggang perlu utamakan keselamatan di jalan raya
Penunggang dan pembonceng motosikal yang masih menggemari penggunaan topi keledar kura-kura atau topi keledar separuh muka seolah-olah membuka peluang sehingga 80 peratus ke arah kematian diri sendiri ketika berada di jalan raya.
Hasil penyelidikan yang dijalankan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mendapati risiko untuk berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa ketika menggunakan topi keledar itu lebih tinggi kerana komponen pembuatan topi keledar itu terlalu lembut serta senang pecah.
Pengarah JKJR Perak, Farrell Rasu, berkata masih ramai di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal menggunakan topi keledar kura-kura tanpa menyedari risiko dihadapi mereka.
"Mungkin ada yang sedar dengan risiko itu hasil daripada kempen dijalankan, tetapi mereka masih enggan mematuhinya disebabkan tidak mengambil berat mengenai keselamatan diri.
"Jangan kerana sayangkan wang RM30 hingga RM40 untuk membeli topi keledar baru yang menepati piawaian, mereka sanggup menggadaikan nyawa sendiri," katanya kepada pemberita dalam satu operasi bersepadu JKJR Perak bersama Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di Jalan Raja Dihilir, di sini, semalam.
Dalam operasi sama, JKJR turut mengadakan program tukar ganti percuma topi keledar yang mengikuti spesifikasi, manakala sebanyak 10 saman membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikeluarkan Cawangan Trafik.
Seramai enam pegawai JKJR dan 15 anggota trafik terbabit dalam operasi tiga jam bermula jam 9 pagi itu.
Farrell berkata, JKJR Perak sudah mengagihkan sebanyak 2,000 unit topi keledar sebagai tukar ganti kepada topi keledar kura-kura atau terlalu uzur.
"Pertukaran itu dilakukan ketika operasi JKJR. Bagaimanapun, saya menasihatkan pengguna tidak menunggu pertukaran percuma itu dilakukan,” katanya.
skip to main |
skip to sidebar
Translate
Followers
!-end>!-local>
0 comments:
Post a Comment