Translate

Derma organ amalan mulia, terap semangat tolong-menolong

MANUSIA adalah insan bermasyarakat dan tanpa sokongan serta kerjasama, manusia tidak akan dapat mencipta tamadun. Dalam Islam konsep bermasyarakat adalah murni dan luas melangkaui agama, bangsa, warna kulit serta budaya.

Hal ini di nyatakan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan.” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Menghayati kehidupan bermasyarakat, Islam menitikberatkan konsep tanggungjawab sosial, iaitu mengambil berat sesama manusia seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengambil berat atas urusan orang Muslimin maka bukanlah dia daripada kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredai Allah.”( Hadis riwayat at-Tabarani) Saban hari media massa memaparkan kisah penderitaan masyarakat, ada yang terlantar sakit, fakir dan miskin, ada pula dilanda pelbagai musibah bencana serta wabak penyakit. Mereka ini sebenarnya memerlukan bantuan dan pertolongan sama ada wang ringgit atau sokongan moral.

Ada juga memerlukan bantuan organ untuk meneruskan kehidupan. Menurut laporan Kementerian Kesihatan, bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin meningkat dan ia adalah salah satu kaedah rawatan yang diterima ramai.

Bersempena kempen pendermaan organ yang sedang giat dilaksanakan, semua pihak perlu menyahut seruan kempen ini dengan mendaftar diri sebagai penderma. Pendermaan organ adalah sebahagian amalan sedekah jariah demi menyelamatkan nyawa sesama manusia.

Agama Islam mengharuskan pendermaan organ seperti diputuskan Muzakarah Fatwa Kebangsaan pada 1970. Ketahuilah, pendermaan organ adalah satu pekerjaan mulia dan amalan yang mendapat pahala berterusan hingga ke alam akhirat.
Hakikatnya, peluang untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan harta dan wang ringgit begitu luas. Kerana itu, beruntunglah mereka yang diberi Allah kelebihan, suka menolong orang lain dan membantu dalam kerja kebajikan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Riwayat al-Qudhai).

Justeru, umat Islam diseru menyemarakkan amalan tanggungjawab sosial terutama demi menyelamatkan maruah dan nyawa kerana sesungguhnya tersirat seribu rahsia dan hikmah di sebalik semangat itu.

Semoga hubungan yang baik dan semangat tolong-menolong dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama Islam.

0 comments: