Selain bersuka ria di pekarangan resort, ada yang memilih untuk memancing, meredah keluasan tasik, meneroka gua ataupun bersendirian atas penginapan bot.
KALI ini persinggahan EKSTRA ialah Tasik Kenyir, Terengganu. Terpegun dalam pesona, nyata sekali kawasan takungan air seluas 260,000 hektar itu telah menyuburkan warisan alam semula jadi yang ada di sekelilingnya.
Tidak hairan jika sudah bertahun-tahun lokasi itu memukau hati ramai pengunjung hanya kerana pandangan kali pertama.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana kawasan yang luas dan berbukit-bukit akhirnya berubah menjadi beratus-ratus buah pulau gara-gara ditenggelami air.
Didorong prospek pelancongan yang menggalakkan, sebahagian daripada pulau itu kini telah dibangunkan dengan kemudahan penginapan dan juga tarikan pengembaraan lain.
“Tasik Kenyir adalah untuk mereka yang gemar pada ketenangan alam. Begitu juga dengan yang gila memancing.
“Saya sendiri kalau tidak bertugas atau beristirehat di pulau peranginan di perairan laut, akan menghabiskan masa berkhemah di pinggir tasik ini,” ujar Pengarah Urusan Ayu Mayang Resort di Pulau Redang, Yap Chuan Bin.
Begitu sekali tarikan kawasan akuatik di utara bumi Darul Iman ini. Dengan panggilan 340 buah pulau di tengah tasik, 14 air terjun, beberapa jeram serta sungai, Tasik Kenyir sememangnya menyimpan ribuan khazanah alam yang berharga.
“Orang sepatutnya menghargai simfoni semula jadi seperti bunyi unggas dan serangga, kesegaran udara dan juga kedamaian yang dipersembahkan kepada semua. Hormatilah alam yang indah ini,” tambah Yap.
|
|
|
|
|
|
|
|
Sama seperti pejuang alam sekitar yang lain, lelaki yang ditemui ini kurang bersetuju dengan pengusaha pelancongan atau resort yang mengganggu aturan itu dengan operasi karaoke, pusat hiburan dan ekspedisi pacuan empat roda yang melampau.
Memang benar, hutan hujan yang menyumbangkan kesegaran oksigen di Tasik Kenyir turut menjadi habitat bagi pelbagai hidupan flora dan fauna.
Pasti seronok para pencinta alam jika menemui spesies pokok pakis yang jarang ditemui, anggerik eksotik, atau unggas dan haiwan seperti enggang, gajah, cempelai dan juga harimau kumbang.
Mengikut brosur promosi pelancongan yang dipetik daripada rekod Jabatan Perhilitan, Tasik Kenyir dan belantara di sekelilingnya menjadi rumah bagi lebih daripada 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies pokok dan tumbuhan termasuk 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.
Bagaimana agaknya aksi dan cabaran menaikkan baung, lampam, toman dan kelah di sini? Kajian terkini mendapati terdapat kira-kira 300 spesies ikan air tawar membiak di dalam Tasik Kenyir.
Kalau belum menandakan lokasi ini dalam rencana kunjungan akan datang, mungkin statistik itu membuatkan jantung si kaki pancing berdegup lebih kencang!
Bersiar dengan bot, berkayak, merentas hutan, ekspedisi pacuan empat roda dan panggilan padang golf adalah antara senarai riadah dan rekreasi yang popular di sekitar tasik yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara melalui Tanjung Mentong ini.
Jika kawasan perkhemahan dan trek merentas hutan mudah disertai di sepanjang Sungai Saok, Lasir, Cacing, Lawit, Petang, Terenggan, Tembat dan Pulau Poh, aktiviti rentas hutan yang ekstrem pula menanti di trek laluan ke puncak Gunung Gagau.
Tidak ketinggalan ialah aktiviti meneroka gua. Selain Gua Taat, Gua Bewah sangat diingati kerana kisah kehidupan manusia prasejarah banyak diceritakan sepanjang usia kewujudannya.
Kedua-dua gua itu antara yang masih boleh dikunjungi ‘isi perutnya’ kerana tidak ditenggelami air sejak pembinaan Empangan Kenyir.
Di Tasik Kenyir, pengunjung tidak perlu khuatir akan soal penginapan. Di sini terdapat pilihan penginapan bertaraf tiga bintang yang masing-masing bersaing menawarkan kemudahan bernilai tambah.
Paling popular dan mungkin menghampakan pengunjung yang terlewat menempah pada musim tertentu tentunya penginapan gaya calet tradisional.
Baik yang dibina di atas pulau, gaya terapung seperti rumah bot ataupun yang terperosok sedikit ke dalam redup rimba, semuanya sedia dihuni.
“Antara perkara yang menjadi faktor dalam membuat keputusan penginapan ialah kemudahan dalam bilik, panorama persekitaran, arah matahari terbit, lokasi memancing, aspek privasi dan juga jarak perjalanan dari Jeti Gawi,” kata Azmi Mohd., dari agensi pelancongan Ping Anchorage Travel & Tours Sdn. Bhd.
Memetik perancangan kerajaan negeri melalui kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tahun lalu, Tasik Kenyir dijangka muncul dengan tarikan baru iaitu aktiviti jelajah pulau.
Sebanyak 10 buah pulau kecil yang terdapat di bahagian utara Tasik Kenyir akan dibangunkan mengikut tema tertentu.
Projek yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu akan menyaksikan pembinaan Taman Eko-Kenyir seluas 61 hektar di Pulau Selimbar, Pulau Tekak Kecil dan Pulau Kuala Tekak.
Khabarnya taman orkid, taman tropika, taman rama-rama dan taman burung akan dibangunkan di beberapa lokasi berhampiran.
Biar apa pun tujuannya, jangan pula terjadi apa-apa yang boleh mengorbankan keindahan yang sudah sedia ada di Tasik Kenyir. Datanglah ke sini dan alamilah sendiri!
0 comments:
Post a Comment