Translate

Mi Segera 'Tetap' Jadi Pilihan

http://www.maggi.com.my/NR/rdonlyres/9DDB0CA2-4ED1-4897-90A3-5CDC7935F3C3/82370/MAGGI2minute.jpg
Setiap kali perkataan mi segera disebut, mungkin ramai di antara kita terbayangkan pelbagai slogan iklan produk makanan itu yang sering dipaparkan di kaca telvisyen.

Ramai berpendapat walaupun terdapat banyak hidangan enak pelbagai bangsa, mi segera tetap menjadi pilihan ramai walaupun dimakan hanya sekali dalam sebulan.

Apakah sebenarnya rahsia perencah makanan yang berasal dari negara matahari terbit ini sehingga menyebabkan ramai rakyat di negara ini terus menyukai makanan ringkas ini?

MI SEGERA TETAP DIGEMARI

Menurut Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan Makanan Nestle Products Sdn Bhd Izham Mohamed, pada tahun lepas sahaja sebanyak 1.2 bilion paket hidangan mi segera dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Puratanya ialah 38 paket seorang bagi penduduk di Semenanjung dan 44 paket seorang bagi penduduk di Sabah dan Sarawak.

Untuk mengekalkan prestasi mi segera sebagai antara makanan paling digemari bukanlah satu perkara mudah memandangkan mi segera mempunyai banyak saingan.

Izham berkata satu daripada perkara yang perlu dititikberatkan dalam memastikan keunggulan mi segera sebagai hidangan kegemaran ramai ialah daya usaha pengeluar mi segera dalam inovasi produk mereka.

"Pengubahsuaian dan inovasi ialah amat penting untuk mengekalkan pertumbuhan industri mi segera pada jangka masa panjang. Sebagai pembuat mi segera, kita perlu sentiasa inovatif.

"Contohnya, mencipta perisa baru, meningkatkan khasiat mi segera atau memberikan produk berkualiti tinggi kepada pengguna," katanya pada Persidangan Persatuan Mi Segera Dunia (WINA) yang diadakan di sini baru-baru ini.

Selain itu kecekapan pengusaha amat penting dalam memastikan peningkatan kos tambahan tidak ditanggung oleh pengguna yang sekaligus boleh menaikkan harga mi segera.

"Kerana faktor harga murah menjadi tarikan utama menjadikan mi segera mampu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat," kata Izham.

MAKANAN GLOBAL

Izham berkata mi segera kini semakin digemari di seluruh dunia dan menuju ke arah di mana WINA mahu menjadikan mi segera sebagai makanan global seperti nasi dan roti pada masa hadapan.

Ini disokong oleh Pengerusi WINA, Koki Ando, yang menyatakan industri mi segera dunia kini dianggarkan bernilai AS$25 bilion.

"Penggunaan mi segera dunia juga dijangka meningkat kepada 100 bilion sajian dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi berbanding 92 bilion sajian tahun lepas," katanya pada persidangan yang sama.

Menurut Ando mi segera kini boleh dikategorikan sebagai makanan dunia disebabkan ia selamat dari segi tempoh lupusnya yang panjang dan boleh dibawa ke mana sahaja dengan mudah.

Ando merupakan ketua pegawai eksekutif Nissin Foods Holdings Co. Ltd. dari Jepun. Beliau ialah anak kepada pencipta mi segera, Momofuku Ando.

Sementara itu Timbalan Ketua Eksekutif WINA, Norio Sakurai menjelaskan dengan hidangan 93.6 bilion seluruh dunia pada tahun 2008 sahaja, WINA merasakan terdapatnya asas kukuh mi segera boleh menjadi makan ruji global.

"Penggunaan mi segera dijangka mencecah 100 bilion hidangan dalam tempoh dua hingga tiga tahun, ditambah pula dengan kemunculan pasaran baru seperti Ukraine, Nigeria dan Rusia," katanya.

CABARAN INDUSTRI

Walaupun dilihat sebagai industri yang mempunyai masa hadapan yang cerah, industri mi segera juga tidak terlepas daripada cabaran yang perlu dihadapi oleh pengusaha.

Antara cabaran itu ialah penggunaan bahan perisa seperti sodium (garam) yang sering menjadi punca terhadap pelbagai dakwaan yang mengatakan mi segera tidak mempunyai zat yang secukupnya untuk menjadi makanan berkhasiat.

"Pengurangan sodium di dalam mi segera merupakan cabaran terbaharu industri ini...kita tidak boleh mengurangkannya secara drastik, tetapi boleh melakukannya secara berperingkat," kata Ando.

Bagi pengusaha mi segera utama di Malaysia pula iaitu Nestle, Izham berkata pihaknya sendiri berusaha mengurangkan penggunaan sodium sebanyak 15 peratus dalam kandungan perisa mi segeranya sejak lima tahun lepas.

Namun katanya selepas menerima maklumbalas daripada pengguna yang merungut akibat rasa mi segera yang kurang sedap menyebabkan Nestle mengurangkan kandungan sodium sebanyak lima peratus sahaja dalam perisa mi setiap tahun.

"Mi segera kini boleh dikatakan berkhasiat seperti nasi dan pasta, dan ia sebenarnya boleh menjadi hidangan berkhasiat jika ditambah dengan protein dan sayur," jelasnya.

MEMBANTU WARGA SEJAGAT

Dalam pada itu WINA yang diadakan julung-julung kali di Kuala Lumpur itu pada 21-22 April lepas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menghimpunkan lebih daripada 120 delegasi.

Pada persidangan dua hari itu pakar-pakar ini membincangkan semua aspek ekonomi, diet, persekitaran, teknikal dan impak sosial mi segera.

Antara negara yang turut serta ialah Rusia, Brazil, Vietnam, Filipina, Indonesia, Jepun, Korea, Thailand, Taiwan, China, India dan tuan rumah Malaysia.

Ando dalam membicarakan mengenai impak sosial mi segera berkata sejak 2004, memberitahu bahawa Tabung Bencana WINA mengagihkan sebanyak 1.8 juta sajian mi segera kepada mangsa bencana alam.

Katanya persatuan itu juga menubuhkan Dana Penyelidikan Keselamatan Makanan WINA untuk mengkaji potensi bahaya bahan itu, dan mencari langkah yang lebih efektif dari segi tenaga dan ekologi dalam sistem rangkaian nilai.

"Ini ialah antara usaha dan komitmen serta tanggungjawab sosial WINA yang mahu membantu umat sejagat khususnya bagi golongan miskin dan yang berkeperluan tidak mengalami kebuluran dan sentiasa dapat menikmati makanan seperti orang lain," katanya.

Beliau juga menggesa anggota WINA kembali kepada prinsip asas mi segera iaitu sedap dan berkhasiat, selamat dan bersih, boleh disimpan lama serta harga yang berpatutan.

0 comments: