Translate

Sejarah Sarawak

Latar Belakang Sejarah Sarawak

Nama Sarawak berasal daripada nama Batang Sarawak atau Sungai Sarawak. Batang Sarawak meliputi kawasan di sekitar Kuching hingga ke seluruh Sarawak.

Kewujudan manusia di Sarawak bermula kira-kira 40 000 tahun dahulu. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui penemuan beberapa peninggalan sejarah di Gua Niah seperti tembikar, alat perkakas seperti kapak, pisau yang diperbuat daripada batu serta lukisan yang diconteng di dinding gua. Penemuan ini telah membuktikan Sarawak sebagai salah sebuah negeri terawal yang diduduki oleh manusia di Asia Tenggara.

Pertalian Sarawak dengan Kesultanan Brunei dan Sulu

Negeri Sarawak ditadbir oleh Kesultanan Brunei sejak abad ke-15. Kerajaan Brunei telah mentadbir Sarawak dengan membahagikan pemerintahan Sarawak kepada beberapa jajahan. Setiap unit jajahan ditadbir oleh seorang pembesar yang diberi kuasa autonomi. Contohnya, Sungai Skrang ditadbir oleh Syarif Sahap manakala kawasan Sungai Sarawak (Kuching) pula ditadbir oleh Pangeran Mahkota.

Penempatan Penduduk Sarawak

Terdapat 27 kumpulan etnik di negeri Sarawak yang mempunyai bahasa, budaya dan cara hidup yang berbeza. Etnik di Sarawak terbahagi mengikut kawasan penempatan seperti persisiran pantai, lembah sungai, daerah pendalaman dan kawasan tanh tinggi. Kawasan yang paling padat dengan penduduk ialah dataran pantai, lembah sungai di bahagian barat Kuching, dan kawasan antara Sungai Kayan dengan Sungai Mukah. Corak penempatan dan taburan penduduk yang berselerak di Sarawak menyebabkan mereka tidak banyak berhubung dengan orang luar. Keadaan ini mendorong setiap kelompok etnik membentuk identiti kebudayaan masing-masing mengikut persekitarannya. Kumpulan etnik yang terdapat di Sarawak ialah Iban, Melayu, Bidayuh, Melanau, Kenyah, Penan, Punan, Kedayan, Kayan, Kelabit dan Murut.

0 comments: