Translate

Individu Pemarah Mudah Didekati, Dihasut Syaitan

HIDUP bertoleransi dan saling menghormati menjadi agenda penting masyarakat bertamadun. Hakikatnya, tidak ada individu yang bebas melakukan apa saja diingini kerana kita dibatasi undang-undang dan hukum agama.

Sikap ego dan mementingkan diri bukan mendatangkan kebaikan kepada pelakunya, sebaliknya menimbulkan kesan emosi tidak stabil dalam diri. Sebab itu, amalan terbaik ialah sentiasa merendahkan diri dan bersedia memaafkan orang lain.

Setiap hari kita sentiasa berdepan situasi menimbulkan perasaan marah. Kejadian itu berlaku di rumah, jalan raya, dalam kenderaan awam, pejabat, kedai dan di mana saja. Keadaan itu hanya dapat diredakan jika adanya sifat pemaaf dalam diri yang bertindak seperti air mematikan api.

Sifat pemaaf menjadi benteng yang menghalang daripada timbulnya rasa marah. Justeru, pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim kerana sifat itu mempunyai kesan amat besar dalam kehidupan dan dapat menyelamatkan daripada terjebak tindakan tidak sepatutnya.

"Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah Asy-Syura, Ayat 39-40)

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah SWT menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 132)

Orang yang bersifat pemaaf tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun pernah diperlakukan dengan perkara menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya secara positif.

Sifat itu memberi keyakinan bahawa yang berhak menghukum hanyalah Allah SWT. Biarlah Allah SWT yang menentukan balasan terhadap apa dilakukan orang lain terhadap kita. Individu pemaaf dan sabar sentiasa tenang serta bermuhasabah diri untuk menilai apa yang berlaku.
Memang orang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu, namun lebih baik jika memberi kemaafan. Tindakan tidak membalas balik akan mengelak daripada melakukan kezaliman.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim.”(Surah Asy-Syura, ayat 39-40)
Melakukan kebaikan kepada seseorang tidak seharusnya terhenti disebabkan satu kesilapan dilakukan olehnya. Ada banyak kes keretakan hubungan keluarga, sahabat dan rakan sekerja terputus semata-mata disebabkan satu kesalahan kecil.

Mereka yang tidak mahu memaafkan dan suka beradu kekuatan boleh disamakan seperti haiwan. Sifat haiwan tidak mahu mengaku kalah untuk mendapat apa yang diingini tanpa belas kasihan kepada lawannya.

Perasaan dendam dan curiga yang terus menguasai diri mudah bertukar menjadi tindakan lebih buruk jika tercetusnya percikan api kemarahan. Syaitan sentiasa memainkan peranan menimbulkan suasana lebih buruk. Godaan syaitan sukar ditepis jika iman lemah.

Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: “Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh memainkan hati mereka seperti sebiji bola.”

Sebab itu Islam menganjurkan agar saling memaafkan. Melaluinya akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat. Hidup tanpa marah dan dendam adalah nikmat kebebasan hidup yang sebenar.

Sifat memaafkan dianggap mudah kerana ia berada dalam diri kita sendiri. Kita menentukan sifat pemaaf atau sifat pendendam. Jadilah insan dalam hatinya penuh dengan bungaan kemaafan yang sentiasa segar.

0 comments: