Translate

Aidilfitri lebih afdal jika ikut sunnah Rasulullah

Masih ramai kalangan masyarakat Islam keliru status amalan ketika meraikan Aidilfitri sama ada perbuatan itu ibadat yang mendatangkan pahala atau sekadar adat diwarisi secara turun temurun.

Memakai pakaian paling cantik dan yang terbaik adalah tuntutan syarak serta amat digalakkan Rasulullah. Ia menjadi ibadat jika niat si pemakai untuk menjunjung panduan diberikan Rasulullah.

Baginda sendiri memakai pakaian yang terbaik dan paling cantik, malah menyarankan sahabat supaya berpakaian cantik seperti disebut cucu Baginda, Saidina Hassan: “Nabi memerintahkan kami di pagi raya supaya memakai pakaian paling baik yang kami miliki dan berwangian dengan wangian paling baik kami miliki.”

Bagaimanapun, perbuatan itu menjadi adat jika si pemakai membeli pakaian baru hanya sekadar mengikut aliran atau sebab orang lain turut memakai baju baru. Perkara dituntut adalah paling cantik dan setiap yang cantik itu tidak semestinya baru. Dibimbangi jika membeli pakaian baru dalam keadaan membazir dan berlebihan sedangkan pakaian sedia ada masih elok dan boleh digunakan.
Makan sedikit sebelum keluar mengerjakan solat sunat Aidilfitri termasuk dalam sunnah Baginda dan makanan pilihan Baginda ialah tamar. Saidina Anas bin Malik menyebut: “Adalah Nabi tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehinggalah Baginda memakan buah tamar terlebih dulu dengan bilangan yang ganjil (3 atau 5 atau 7 biji).”

Menjamah makanan di pagi Aidilfitri adalah pernyataan bahawa diharamkan berpuasa pada hari itu. Mesej bersegera makan dan bersolat sunat Aidilfitri untuk mengelak orang Islam memikirkan mengenai puasa kerana itu adalah hari kegembiraan selepas sebulan menahan makan dan minum.

Sesiapa yang berpuasa pada hari itu dianggap menolak pelawaan dan pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya kerana orang Islam adalah tetamu Allah SWT pada hari penuh kemuliaan. Justeru, apabila seseorang terus keluar tanpa menjamah sedikit makanan, maka meninggalkan sunnah amalan Rasulullah.

Membayar zakat fitrah hukumnya wajib dan sesiapa meninggalkannya berdosa. Ia mesti ditunaikan sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Kelewatan membayarnya akan mengakibatkan ia tidak dikira sebagai zakat dan hanya dianggap sebagai sedekah.

Berlaku juga dalam masyarakat amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak. Ia akan menjadi ibadah jika niat si pemberi untuk bersedekah dan menggembirakan hati mereka yang menerima. Banyak ayat al-Quran memberi galakkan supaya sentiasa bersedekah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu menampakkan sedekahmu, maka itu adalah baik sekali dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikannya itu adalah lebih baik bagimu.” (Surah al-Baqarah: 271)

Sehubungan itu, perlu difahami dalam erti kata yang sebenar apakah tuntutan syarak menyambut Aidilfitri. Sesungguhnya tidak salah bergembira tetapi biarlah dalam suasana penuh kesederhanaan dan bertepatan hukum Islam.

Aidilfitri adalah manifestasi kegembiraan umat Islam kerana:

  • *Dosa diampunkan selepas menjadi graduan cemerlang madrasah Ramadan.

  • *Dapat membantu golongan kurang upaya dan tiada kemampuan seperti anak yatim, fakir, miskin dan yang melarat melalui pemberian zakat serta sedekah.

  • *Rahmat dan nikmat pemberian Allah SWT yang melimpah ruah.

  • *Berkumpulnya umat Islam saling bersalaman di rumah ibadat seperti surau dan masjid sambil bertakbir, bermaafan serta mendengar nasihat melalui khutbah Aidilfitri yang disampaikan.

  • *Takbir bergema serentak di seluruh pelusuk kampung, bandar, negeri, negara dan dunia.

  • *Berpeluang mengeratkan tali silaturahim dengan amalan ziarah menziarahi sesama keluarga, kaum kerabat, sanak saudara dan sahabat handai.
  • 0 comments: