TIDAK berapa lama dulu kita begitu sibuk dengan kempen membersihkan sungai di seluruh negara yang kebanyakannya tercemar dengan pelbagai bahan buangan dan sampah sarap.
Lebih menjengkelkan ialah buangan toksik dan beracun mengandungi pelbagai logam berat seperti arsenik, raksa, plumbum, zink dan kimia buangan dari pelbagai industri yang sedikit pun tidak menghiraukan akibat daripada perbuatan mereka ke atas hidupan dan persekitaran.
Menurut sumber Jabatan Alam Sekitar (JAS), sisa toksik ini bukan saja berbahaya kepada manusia tetapi juga merosakkan habitat serta alam sekitar. Kajian JAS juga mendapati air dari sungai yang tercemar mengandungi logam berat berbahaya, bukan saja mengancam kehidupan haiwan tetapi juga manusia.
Persoalannya, apa sudah jadi dengan kempen yang pada mulanya nampak begitu bersungguh-sungguh mahu memulihara sungai bagi menjadikannya sebagai tempat selamat untuk beriadah dan perkelahan tanpa ragu dengan kebersihannya. Malah mengikut penyelidikan terakhir keadaan sungai di seluruh negara semakin teruk dan sungguh mencemaskan kerana tidak kurang daripada 45 sungai dikategorikan sebagai tercemar teruk dan berada pada tahap 3, 4 dan 5 pada penilaian JAS.
Sememangnya banyak sungai di negara ini tercemar teruk dan sesetengahnya mati iaitu airnya bertakung dan tidak dapat mengalir lagi.
Antara sungai yang saya dapati teruk tercemar beberapa tahun lalu, menyebabkan airnya bertukar menjadi kehijauan dan meloyakan ialah Sungai Korok di Alor Setar. Pada 1950-an dan 60-an sungai itu sebenarnya tali air yang dibina Menteri Besar Kedah ketika itu yang dikenali sebagai Wan Mohamad Saman Canal jernih dan ramai kanak-kanak mandi-manda di situ.
Demikian juga dengan Sungai Klang dan Sungai Gombak yang melintasi Kuala Lumpur begitu tercemar hingga airnya seperti teh tarik dan mengandungi pelbagai bahan toksik berbahaya. Bahkan, Sungai Klang tidak lagi boleh digunakan sebagai sumber air bagi dirawat untuk kegunaan domestik kerana ia bukan saja dipenuhi sampah- sarap tetapi juga pelbagai campuran kimia berbahaya hingga boleh menjejas kesihatan manusia. Segala campuran kimia ini sukar dirawat dan tidak boleh digunakan sebagai sumber air untuk dirawat dan dibekalkan untuk kegunaan penduduk.
Namun, kini nasib nampaknya menyebelahi kita sebab berkat usaha seorang anak tempatan dari Pulau Pinang ketika berada di Taiwan beberapa waktu dulu membawanya kepada beberapa saintis dan profesor di negara itu untuk menyelidik selok-belok kebersihan air.
Hasil usahanya itu, beliau berjaya menyediakan peralatan yang boleh digunakan untuk merawat dan membersihkan air, baik dalam kolam mahu pun di sungai atau tanah yang tercemar dengan pelbagai bahan toksik.
Ia berfungsi dengan menukarkan sifat air tercemar dengan mengubah struktur dan saiz molekul, ketelarutannya selain daripada menambahbaikkan pelbagai sifat lainnya termasuk meningkatkan kandungan oksigen.
Teknologi ini juga dapat menghapuskan pelbagai jenis kimia dalam air serta zarah yang terapung pada permukaannya seperti e-coli daripada najis selain menghapuskan baunya. Dengan itu kaedah ini dapat membaik pulih air dan tanah yang tercemar dari pelbagai kesan kimia berbahaya dan unsur pencemaran lain.
Ia menggunakan kaedah pelbagai teori fizik kuantum dan gelombang untuk
menghapuskan segala logam dan apungan yang terdapat dalam air atau tanah yang tercemar. Dengan itu ia tidak menggunakan sebarang kimia untuk melakukan kerja pembersihan dan baik pulih air atau tanah.
Apa yang ia tidak boleh lakukan ialah menghapuskan sampah-sarap terapung yang sebenarnya boleh diangkut dan dibuang menggunakan jaring perangkap sampah.
Teknologi ini banyak digunakan dengan jayanya di Taiwan sejak beberapa tahun lalu seperti membaik pulih air di Terusan Wei Fang, Sungai Golden Dan Shui dan Yang Guang di Taipei dan Sungai Shan Ye di Tainan.
Selain itu ia juga digunakan dengan jayanya untuk ternakan ayam, lembu dan kambing. Penternakan ayam khususnya banyak menggunakan bahan kimia seperti antibiotik dan hormon untuk menentukan ayam ternakan tidak diserang penyakit dan dapat membesar segar dalam tempoh tertentu.
Sejak membawa balik teknologi ini, sebuah syarikat yang ditubuhkan penciptanya kini sedang menjalankan beberapa ujian membaik pulih tanah dan air, baik di sungai atau pun di kolam serta usaha ternakan ayam dan udang dengan kerjasama pelbagai syarikat dan agensi kerajaan.
Antaranya ialah membaik pulih Sungai Kok Mak di Perlis, Sungai Derga dan Sungai Alor Siam di Alor Setar serta kolam di Istana Negeri di Kedah. Kesemua sungai dan kolam itu didapati dapat dibaik pulih dan menjadi jernih kembali setelah menjalani ujian menggunakan kaedah ini.
Teknologi itu juga diuji untuk kilang merawat air kumbahan IWK di Rawang, sebagaimana juga untuk menanam padi di Langgar Kedah. Tanaman padi yang diuji itu lebih subur dengan mengeluarkan hasil hampir sekali ganda daripada menggunakan cara biasa sekarang.
Bendang ujian menggunakan kaedah ini menghasilkan 6.89 tan bagi sehektar, walaupun menggunakan baja dan racun serangga yang sedikit berbanding 3.602 tan sehektar dari bendang menggunakan kaedah biasa dengan ditaburkan baja dan racun serangga lebih banyak.
Pokok padi hasil daripada penggunaan kaedah ini juga didapati lebih segar, manakala nasi yang dimasak menggunakan beras hasil ujian itu juga lebih baik dengan rasanya lebih enak.
skip to main |
skip to sidebar
Translate
Followers
!-end>!-local>
0 comments:
Post a Comment