Translate

Ramadan Tingkat Kesedaran Kepentingan Air

Titisan hujan membasahi bumi beri rahmat tidak ternilai dalam segenap aspek kehidupan

IBADAT puasa bukan sekadar mengharungi kelaparan dan kehausan sepanjang hari. Ia juga waktu bermuhasabah diri di samping mengambil iktibar serta peluang meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Ramadan umpama satu penilaian rohani tahunan memperbaharui’ usaha menjadi insan lebih sempurna. Puasa menuntut ketabahan dan pengorbanan yang menimbulkan rasa kagum bukan Islam terhadap ketabahan umat Islam melalui siang hari tanpa sesuap makanan dan setitis air.

Ketika ini juga umat Islam insaf dan merasai betapa tingginya nilai setitis air. Justeru, kita lebih menilai anugerah air daripada Allah apabila ia tidak mudah dinikmati seperti hari biasa. Justeru, hargai air dan pelihara persekitaran supaya sumber air tidak tercemar.

Gunakan air secara berhemah dan elakkan membazir kerana Islam menegah umatnya melakukan pembaziran.

Dalam Islam, air menjadi sumber kehidupan yang penting. Firman Allah bermaksud: “Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup.” (Surah al-Anbiyaa: 30)

Kepentingan air bukan hanya untuk penyediaan makanan dan minuman, malah digunakan untuk bersuci termasuk wuduk sebelum menunaikan solat. Pentingnya air juga adalah seperti riwayat perigi Zamzam yang memberi sumber air sejak zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Hingga hari ini perigi Zamzam yang tidak pernah kering terus membekalkan air kepada jemaah haji dan umrah di Makkah.

Bagi golongan bukan Islam pula, ahli falsafah Empedocles dari kaum Yunani kuno pernah berkata, air antara empat elemen klasik selain api, bumi dan udara. Dalam falsafah tradisional China, air turut dianggap satu daripada lima unsur selain logam, kayu, api dan bumi.

Air juga penting bagi penganut bukan Islam untuk upacara dan amalan keagamaan. Upacara baptism bagi penganut Kristian, mitvah (Judaism atau penganut Yahudi), amrit (Sikhism) dan upacara sembah diamalkan oleh Shintoism. Bagi orang Hindu, air turut disembah dalam upacara di Sungai Ganges.

Air menjadi rahmat Allah kepada manusia, tetapi sumber air di muka bumi ini tidak kekal. Kita harus sedar setiap titisan hujan yang membasahi bumi memberi rahmat tidak ternilai bagi umat manusia.

Namun, manusia sering alpa dengan rahmat Allah. Bukan saja membazir, kita juga tidak menghiraukan kesan buruk pembaziran dan kerakusan manusia yang akhirnya mempercepatkan proses pencemaran serta pengurangan sumber air.

Kita harus sedar jika air menjadi suatu komoditi yang sukar diperoleh, maka ia sepatutnya diberi nilai yang mencerminkan harganya. Akan tetapi, kerakusan serta kecuaian manusia menyebabkan berlaku kerosakan alam sekitar yang kritikal dan boleh mengancam kehidupan manusia sejagat.

Seperti mana puasa, penggunaan air secara lestari juga satu tuntutan ibadat, malangnya ibadat ini tidak diendahkan dan ramai tidak menghargai air kerana menganggapnya sebagai komoditi murahan yang diberi subsidi oleh kerajaan.

Mereka tidak mahu mengambil tahu sebelum air bersih disalurkan kepada isi rumah, ia memerlukan proses rawatan serta pengagihan yang memerlukan penyelidikan dan pembangunan selain perbelanjaan infrastruktur yang tinggi .

Tujuan kerajaan memberi subsidi untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin dengan matlamat mencapai pembangunan serta agihan seimbang. Tetapi, orang ramai menganggap subsidi hak rakyat yang tidak boleh ditarik balik walaupun ia mengakibatkan herotan pasaran dan tidak mencapai matlamat untuk membantu golongan sebenar yang memerlukan.

Contohnya, penduduk Selangor tidak mempunyai insentif tinggi untuk menjimat penggunaan air kerana ia murah dan penggunaan 20 meter padu pertama diberi secara percuma.

Kita hendaklah prihatin terhadap kesejahteraan generasi masa depan dan bersama memastikan pembangunan secara lestari. Usaha menentukan dunia ini menjadi tempat perlindungan baik untuk generasi masa depan adalah ibadat.

Sempena Ramadan ini, marilah kita memulakan lembaran baru dengan semangat ikatan persaudaraan untuk bersama mengubah hidup ke arah lebih sempurna.
Marilah tukar cara hidup yang membazir supaya dapat mengelakkan menambah kerosakan alam sekitar yang hampir menuju kepada kemusnahan.

Bersamalah menghargai sifat kesederhanaan dalam Islam seperti diamalkan Nabi Muhammad.

0 comments: