Translate

Persoalan Agama: Makanan bukan air tangan Islam wajar dielak

DEWASA ini, ada banyak restoran yang menyediakan makanan halal, tetapi tukang masaknya bukan Islam. Persoalannya, apakah hukum memakan makanan itu.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 1 yang bermaksud: Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.

Begitu juga dalam surah sama ayat ke-3 bermaksud: Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah SWT, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih. Dan (diharamkan bagimu haiwan) yang disembelih untuk berhala...

Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebut bahawa Allah SWT mengkhabar suatu larangan memakan seperti dinyatakan. Di antaranya bangkai iaitu haiwan yang mati tanpa disembelih atau diburu. Bangkai itu Allah SWT haramkan kerana mengandungi kemudaratan kerana di dalamnya ada darah beku yang membahayakan agama dan kesihatan badan.

Kecuali bangkai ikan. Ikan itu halal, baik mati kerana disembelih mahu pun sebaliknya. Ia berdasarkan hadis diriwayatkan Imam Malik dalam Muwathanya, Abu Daud dan lain-lain, daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Laut itu suci airnya dan halal bangkainya.

Dalam Tafsir Ibnu Kathir menyebut bahawa sifat Nabi Muhammad SAW adalah menghalalkan yang baik-baik dan mengharamkan yang buruk-buruk. Menurut Muqatil, at-Tayyibaat ialah segala sesuatu yang dihalalkan bagi mereka untuk dimakan, iaitu rezeki yang halal.
Persoalannya, bagaimana kita memastikan dan meyakini makanan itu halal sedangkan yang memasak itu bukan orang yang beriman? Ini kerana, perkara halal dan haram ini adalah soal iman dan Islam.

Namun, sekiranya orang bukan Islam menjemput menghadiri jamuan diadakan di rumahnya dan ia menggunakan perkhidmatan katering Muslim yang menggunakan bahan-bahan halal, maka hukumnya harus. Dalam buku Fath al-Qarib menyebut: Halal sembelihan setiap Muslim dan ahli kitab, dan tidak halal sembelihan majusi dan penyembah berhala.

Berkenaan halal makan sembelihan ahli kitab, Allah SWT berfirman pada ayat 5 surah al-Maidah iaitu: Pada hari ini dihalalkan bagi kamu benda-benda yang baik, dan makanan ahli kitab adalah halal bagi kamu, dan makanan kamu adalah halal bagi mereka.

Menurut pandangan Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya, maksud halal sembelihan ahli kitab ialah Yahudi dan Nasrani. Ini perkara yang sudah dipersetujui di kalangan ulama bahawa sembelihan mereka itu halal bagi umat Islam. Kerana, ahli kitab meyakini haram binatang disembelih selain Allah SWT dan ketika menyembelih mereka tidak menyebut kecuali nama Allah SWT meskipun ahli kitab itu memiliki keyakinan yang salah mengenai Allah SWT.

Bagaimanapun, bagi suasana di Malaysia dengan majoriti umat Islam, maka tidak perlu kepada sembelihan ahli kitab. Pendapat (bahawa sembelihan ahli kitab adalah halal) lebih praktikal di negara yang mana umat Islam adalah minoriti.
Untuk lebih mengetahui dan menjelaskan lagi hukum hakam berkaitan perkara-perkara tersebut, elok dibaca buku ditulis oleh al-Fadhil Ustaz Mohammad Nizam Abd. Kadir yang bertajuk Fiqah Berinteraksi Dengan Non Muslim. Wallahualam.

0 comments: