Perbezaan agama harus dikenal dan diolah lebih lanjut kerana perbezaan itu secara potensinya bernilai dan penting bagi setiap umat yang beragama dalam memperkayakan imannya.
Para pemimpin Islam sering menyatakan bahawa Islam adalah agama toleran, yang menghormati dan menghargai agama-agama lain. Begitu juga pemimpin agama lain turut menyatakan hal yang sama bahawa agama mereka juga mempunyai sikap toleran yang tinggi. Namun, dalam realiti kehidupan, ia menunjukkan betapa konflik umat manusia sama ada konflik etnik, konflik politik-sosial-ekonomi dan keganasan global sering terjadi atas nama agama. Misalnya, lihatlah apa yang berlaku di Palestin dan di bahagian dunia lain. Apakah ajaran agama-agama itu menuntut sikap dan tindakan sedemikian rupa daripada penganutnya? Apakah penghayatan agama yang mendalam akan melahirkan tindakan keras daripada penganutnya? Tentu sekali jawapannya tidak! Namun, realiti menunjukkan kekerasan sering berlaku atas nama agama sehingga melahirkan sikap eksklusif atau satu sikap bahawa hanya agama aku yang benar atau jaminan keselamatan hanya diperoleh dalam agamanya. Maka, akan ditafsirkan berbagai ayat-ayat suci untuk mengabsahkan tuntutan kebenaran itu.
Seorang pemikir Islam tersohor Indonesia, Nurcholis Madjid dalam bukunya, Dialog Keterbukaan, menjelaskan bahawa daripada sudut ajaran Islam, kerukunan umat beragama merupakan akibat wajar daripada sistem keimanannya. Nabi Muhammad s.a.w diperintahkan oleh Allah untuk menegaskan bahawa beliau bukan pertama dalam kalangan utusan Allah (dalam Surah al-Ahqaf, ayat 46). Juga ditegaskan bahawa Nabi Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, yang sebelumnya telah datang rasul-rasul lain (dalam Surah Ali Imran, ayat 144). Oleh kerana itu, Nabi Muhammad s.a.w juga menegaskan bahawa agama para rasul itu semuanya adalah satu dan sama, sekali pun syariatnya berbeza-beza.
Kesatuan agama para nabi dan rasul itu, sebagaimana disebut dalam al-Quran, adalah kerana semuanya berasal daripada pesanan satu ajaran Allah (dalam Surah Ass Syuura, ayat 13). Jadi, sudah seharusnya kita menghormati 'keberadaan' agama-agama itu tanpa membeza-bezakannya. Justeru, perasaan berat untuk bersatu dalam agama itu disebutkan sebagai sikap kaum musyrik, penyembah berhala (kaum Pagan). Sedangkan perbezaan antara berbagai agama itu hanyalah dalam bentuk jalan (syariah) dan cara (minhaj) menempuh jalan itu. Perbezaan tersebut hendaknya tidak menjadi halangan, tetapi menjadi satu motivasi untuk berlumba-lumba menuju kebaikan. Manusia tidak perlu mempersoalkan perbezaan itu, sebab kelak di hari kemudian, Allah akan menjelaskan tentang semua itu (dalam Surah al-Maaidah, ayat 48).
Kalaulah ini seruan universal al-Quran, mengapa penafsiran agama itu harus bersifat begitu dogmatik dan doktrin atau ia dikatakan menyangkut hal-hal akidah sehingga tidak lagi perlu dibicarakan dan sehingga terkesan teologi dan agama sebagai sesuatu yang tertutup dan eksklusif. Memang, dalam sejarah telah lama berkembang doktrin mengenai eksklusif agama sendiri bahawa 'agama sayalah yang paling benar', agama lain sesat dan menyesatkan. Pandangan semacam itu masih sangat kental, bahkan sampai sekarang, seperti termuat dalam buku-buku polemik dan juga buku ilmiah.
Rumusan daripada seorang pakar teologi Kristian kontemporari, Ajith Fernando, misalnya, menarik untuk diungkapkan. Katanya, 'other religions are false path, that mislead their followers' (Agama lain adalah jalan sesat, dan menyesatkan pengikutnya). Ungkapan Fernando itu memang sangat keras dan langsung menggambarkan segi eksklusifnya. Dan yang membimbangkan adalah kitab suci Kristian ditafsirkan seolah-olah membenarkan hal tersebut. Teologi inklusif ini, jika dibaca dari sudut pandang Kristian akan berbunyi, "Jesus adalah satu-satunya jalan yang absah untuk kebenaran dan keselamatan. Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorang pun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku" (Yohannes 14:6). Pandangan eksklusif seperti itu memang dilegitimasikan atau tepatnya dicarikan keabsahannya melalui kitab suci. Tetapi itu bukan satu-satunya kemungkinan. Misalnya, dalam tradisi Katolik, sejak Konsili Vatikan II (1965), sudah jelas bahawa pandangan menjadi sangat terbuka ke arah adanya kebenaran dan keselamatan dalam agama-agama bukan Kristian. Karl Rahner, seorang pakar teologi besar Kristian yang menafsirkan Konsili Vatikan II, merumuskan teologi inklusifnya yang begitu terbuka dengan mengatakan, "Other religions are implicit forms of our own religion" (Agama lain adalah bentuk-bentuk implisit daripada agama kita). Tulisan Rahner mengenai hal itu dibahas dalam bab Christianity and the non-Christian Religions dan Observations on the Problem of the Anonymous Christian dalam bukunya Theological Investigations.
Dalam pemikiran Islam, masalah itu juga terjadi secara ekspresif. Walaupun sejak awal sudah ada konsep Ahli Kitab yang memberi kedudukan kurang lebih setara kepada kelompok bukan Muslim, dan ini dibenarkan oleh al-Quran, tetapi selalu sahaja ada interpretation away, iaitu satu penafsiran yang akhirnya menafsirkan sesuatu yang tidak sesuai lagi dengan bunyi 'teksual' kitab suci, sehingga ayat inklusif dibaca secara eksklusif.
Kembali pada teologi atau agama eksklusif, sebagai umat Islam mahupun umat Kristian dan umat beragama yang lain, semuanya telah mewarisi teologi eksklusif. Disebabkan pandangan itu, mereka menganggap bahawa hanya ada satu jalan keselamatan iaitu agama mereka sendiri. Pandangan itu jelas mempunyai kecenderungan fanatik dan dogmatik. Oleh kerana itu, diperlukan satu perspektif baru untuk melihat "Apa yang difikirkan oleh suatu agama, mengenai agama lain dibandingkan dengan agama sendiri." Perspektif itu akan menentukan apakah seorang yang beragama itu menganut satu fahaman keberagamaan yang eksklusif, inklusif atau pluralis atau seorang yang terbuka?
Dalam konteks umat Islam, perlu dibangunkan sikap Islam inklusif dan bukannya Islam eksklusif. Alwi Shihab, seorang sarjana perbandingan agama di dalam bukunya bertajuk Islam Inklusif, menjelaskan bahawa Islam inklusif adalah satu sikap terbuka dalam beragama. Alwi berhujah dengan ayat al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 62, "Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani, dan sesiapa saja di antara mereka beriman kepada Allah, hari kemudian, dan beramal soleh, mereka akan menerima pahala daripada Tuhan, tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tiada pula mereka bersedih hati." Secara sepintas lalu, ayat itu menunjukkan jaminan Allah atas keselamatan semua golongan yang disebutkan dalam ayat tersebut. Jika demikian halnya, di mana letak keistimewaan umat Islam kalau semuanya akan selamat? Lantas, bagaimana pula dengan ayat al-Quran yang lain seperti yang disebut dalam Surah Ali Imran, ayat 85, "Barang siapa yang mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi."
Perlu diingatkan bahawa maksud 'dalaman' al-Quran tidak akan dapat dijangkau maksudnya secara 'pasti'. Kerana itu, penafsiran ayat al-Quran tidak lain hanyalah penjelasan tentang erti atau maksud firman Allah sesuai dengan batas kemampuan yang menafsirkannya. Buktinya, para sahabat Nabi sendiri berselisih faham dalam hal-hal yang berkaitan tafsiran. Bahkan ada di antara mereka yang memahaminya secara tidak tepat. Logiklah, ketika Ibnu Abbas, seorang ulama yang dinilai paling berwibawa dalam penafsiran al-Quran, menyatakan bahawa ada beberapa ayat al-Quran yang tidak dapat difahami, sekalipun oleh ulama. Hanya Allah yang mengetahuinya.
Dalam penafsiran moden menurut Alwi, ada berbagai pandangan yang menunjukkan keragaman. Misalnya, Muhammad Abduh berpendapat bahawa syarat pertama iaitu beriman kepada Allah tidak harus dibatasi dengan keimanan menurut cara Islam. Selanjutnya, anak muridnya, Rasyid Ridha, ikut memperkuatkan pendapat gurunya. Ridha mengakui bahawa keimanan sejati kepada Allah dapat ditemukan di luar Islam, mungkin yang ia maksudkan adalah orang-orang terdahulu yang beriman kepada Allah sebelum diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. Manakala ahli tafsir Syiah tersohor, Allamh Al-Thabathabai lain pula penafsirannya. Baginya, Allah tidak memandang pada agama tertentu, tetapi yang penting adalah substance dan esensi tersurat yang terkandung dalam agama itu. Selagi tiga syarat dalam ayat (Surah al-Baqarah, ayat 62) telah dipenuhi, maka janji Tuhan itu akan terlaksana. Pandangan Thabathabai itu juga dijelaskan dalam tulisan Fazlur Rahman, pemikir Islam tersohor, yang berusaha untuk menunjukkan semangat inklusif.
Semangat dan sikap Islam inklusif amat bertepatan dengan rumusan Sidang Agama-Agama Dunia yang pernah diadakan pada 1993 dengan mengatakan, "Those who known only their own religion, know none. Those who are not decisively committed to one faith, know no others. To be religious today is to be inter-religious."
Penulis ingin menutup tulisan ini dengan kutipan daripada ajaran sufi. Para sufi tidak sahaja menegaskan kesatuan wahyu, tetapi juga menganggap diri mereka sebagai pelindung Islam dan pelindung agama-agama lain.
Akhirnya dalam semangat inklusif inilah kita menghargai perbezaan. Perbezaan agama harus dikenal dan diolah lebih lanjut kerana perbezaan itu secara potensinya bernilai dan penting bagi setiap umat yang beragama dalam memperkayakan imannya.
1 comments:
salaam... terimakasih entrinya...
Post a Comment