Translate

Puasa bukan bulan berpesta makanan tapi masa terbaik bermuhasabah, tingkat amalan

RAMADAN sentiasa dinanti seluruh umat Islam kerana inilah saat apabila siang harinya mereka yang berpuasa menahan diri daripada makan serta minum sementara malam harinya diisi dengan aktiviti meningkatkan ibadat yang boleh dilaksanakan pada Ramadan saja.

Bercerita mengenai Ramadan, ada yang rindukan waktu bersahur, ada menantikan kegembiraan berbuka puasa yang turut menjanjikan pahala jika sikapnya ialah bersederhana dan ada teringatkan keistimewaan hanya ada pada malamnya.
Tarawih dan solat malam sudah tentu diisi semaksimum mungkin dan diselangi tadarus al-Quran. Ramai yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah kerana ingin merebut ganjaran kebaikan berlipat ganda.

Permulaannya rahmat, pertengahan pengampunan dan penghujungnya terlepas daripada neraka jahanam. Inilah yang mahu dikejar sesiapa saja inginkan penghabisan usia yang baik. Mereka yang bersalah memohon maaf, si sombong menghulur senyum dan jahat mula bertaubat.

Begitu juga yang selama ini takbur tidak putus bersujud memohon keampunan, memohon pelepasan daripada dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri daripada lapar dan dahaga, berpuasa juga menahan diri melakukan perbuatan maksiat.
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa, menjaga hati daripada sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka menjaga mata daripada memandang sesuatu tidak selayaknya dan menjaga hidung menghidu sesuatu mengurangkan pahala.

Mereka menjaga telinga dan suara membawa berita bohong, menjaga lidah daripada membicarakan hal tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lain yang melekakan daripada mengingati Yang Maha Berkuasa.

Sesiapa meninggalkan ibadat puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari itu pada mana-mana hari, meskipun ia berpuasa seumur hidupnya.

Rasulullah SAW menegaskan dalam hadis diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang mafhumnya: “Daripada Abi Hurairah, bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”

Pada Ramadan inilah ibu wajar meluangkan masa berganda bersama anak untuk mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar diterapkan supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam dalam kitab suci, juga amalan ditunjukkan oleh ibu bapa sebagai pendakwah paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak menghadapi Ramadan menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa sebenarnya iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, juga tidak membazir ketika berbuka.

Sudah tentu setiap isteri menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadat kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiamullail, terutama apabila tiba lailatul qadar yang datang hanya sekali.

Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan supaya lebih baik daripada yang sebelumnya.

0 comments: