LAPORAN akhbar mengenai penemuan seekor cicak gergasi yang dijual pada h
arga RM64 juta di Sabah baru-baru ini mungkin menyebabkan ramai mengerut dahi tidak percaya. Tetapi, hakikatnya, cicak daripada spesies Leopard Gecko sememangnya boleh mendatangkan pulangan lumayan.
Bermula sebagai hobi, Firdaus Karim, 31, telah mengembangkan koleksi geckonya yang kini mencecah lebih 200 ekor. Malah, jika kesemua reptilia itu dijual, nilai yang boleh diperolehnya dianggarkan lebih RM100,000.
Keuntungan mungkin satu bonus bagi Firdaus, tetapi, sasaran utama bapa kepada seorang anak itu adalah untuk memiliki semua mutasi gecko yang ada di seluruh dunia pada suatu hari nanti. Hakikatnya, populariti dan pasaran gecko sebagai haiwan peliharaan telah melonjak di Barat khasnya Amerika Syarikat (AS) sejak sedekad lalu.
Di Malaysia, kehangatan itu baru sahaja bermula. Meskipun begitu, Firdaus berkata, bekalan gecko yang ada belum mencukupi untuk memenuhi permintaan pengumpul gecko tempatan. Harga setiap gecko bergantung kepada corak, mutasi dan warna yang bermula serendah ratusan ringgit hingga beribu-ribu ringgit seekor.
Menurutnya, kini terdapat hampir 300 jenis mutasi berbeza dalam spesies leopard gecko di dunia. Naik turun harga sesuatu gecko bergantung kepada jantina dan corak mutasinya. Reptilia yang lebih cantik warna dan coraknya akan menjadi semakin mahal.
"Misalnya, mutasi Black Pearl yang merupakan gecko berwarna hitam sepenuhnya berharga sekitar RM10,500 seekor," katanya yang berhasrat memiliki Black Pearl apabila harga pasaran menurun nanti.
Aneka haiwan
Membesar sebagai anak kampung, Firdaus secara naturalnya mudah bergaul dengan aneka haiwan. Daripada haiwan ternakan seperti ayam dan itik, minatnya terhadap haiwan reptilia bermula seawal usia dua tahun.
"Saya bela pelbagai jenis spesies binatang sejak kecil. Tikus belanda, hamster, ikan, kucing dan burung. Tetapi, semua ini tidak sama dengan membela haiwan reptilia seperti gecko.
"Hakikatnya, menjaga gecko jauh lebih mudah berbanding membela haiwan seperti kucing. Lagipun, kos untuk menjaga gecko juga tidak tinggi," ujarnya yang mula serius menjadikan gecko sebagai haiwan peliharaan sejak sedekad lalu.
Sebanrnya, minat Firdaus itu berpunca daripada perasaan takut bercampur ingin tahu memandangkan reptilia adalah haiwan yang tersendiri. Sebagai haiwan aktif pada waktu malam, Leopard gecko atau nama saintifiknya Eublepharis macularius itu mudah ditemui di kawasan tanah lapang di Pakistan, Afghanistan, Iran dan India Utara.
Bertemu di kediamannya di Puchong, Selangor Firdaus boleh dianggap sebagai pembiak gecko berskala kecil. Di dalam sebuah bilik kecil, tersimpan ratusan ekor Leopard gecko besar dan kecil dalam ratusan akuarium reptilia yang disusun rapi. Selain itu, koleksi geckonya juga terdiri daripada gecko berekor gemuk Afrika dan gecko knob-tailed.
Dalam tempoh lebih setahun, dia telah menjual lebih 100 ekor gecko. Lelaki itu juga bersungguh-sungguh untuk menghasilkan variasi mutasi gecko terbaik di dunia.
Jantina seekor gecko biasanya ditentukan oleh suhu inkubator. Maksudnya, untuk mendapatkan anak gecko betina, pembiak perlu memastikan suhu yang ditetapkan adalah rendah iaitu sekitar 26 darjah Celcius.
Gecko jantan pula akan terhasil pada suhu di antara 32 hingga 34 darjah Celcius. Bagi mendapatkan gecko berkualiti tinggi, pembiak mesti tahu mengenai aspek genetik.
"Contohnya, jika gen A dan B memang tidak harus dipadankan tetapi pembiak meneruskan hajat itu, maka gecko yang dihasilkan adalah biasa-biasa sahaja," terangnya.
Bukan tergolong dalam kategori haiwan terancam atau dilindungi, saiz gecko dewasa biasanya tidak melebihi 27.5 sentimeter (sm). Jadi, ia tidak memerlukan ruang yang besar.
Tambahnya, tidak sukar juga untuk membuat gecko anda gembira. Asalkan ada bekalan air bersih selain serbuk kalsium sebagai suplemen tambahan untuk kesihatan gecko anda sudah mencukupi. Satu lagi keunikan gecko ialah gecko jantan tidak akan melakukan persenyawaan dengan gecko betina yang sama.
Tempoh mengawan bagi gecko ialah sekitar tujuh hingga lapan bulan. Dalam masa itu, gecko betina lazimnya akan mengeluarkan dua biji telur pada setiap kelahiran.
"Jadi, setiap sekali dalam seminggu, saya akan menukar air, makanan, alas dan sambil itu, memeriksa sama ada gecko betina bunting. Kalau ada, saya perlu sediakan juga tempat untuknya bertelur," katanya lagi.
Pembersih
Seperti reptilia lain, gecko juga bersalin kulit. Ia juga seekor binatang yang pembersih kerana membuang najis di satu lokasi sama sekali gus memudahkan proses pembersihan dilakukan.
Jika anda berminat memelihara gecko, ada beberapa perkara penting yang harus dielakkan. Pertama, gecko tidak memerlukan tempat tinggal yang terlalu besar kerana ia hanya akan membuatkan gecko itu tertekan. Kedua, jangan sesekali menarik ekor yang kelihatan comel seakan-akan seekor ulat sagu.
"Kalau tarik, ekor gecko akan terputus. Proses ini sama dengan proses cicak rumah yang terkejut dan menyelamatkan diri apabila terancam. Jika itu berlaku, gecko anda tidak akan mendapat ekor baru yang secantik itu lagi," jelasnya sambil memberitahu ekor baru gecko mengambil masa sekitar tiga hingga empat bulan untuk tumbuh semula.
Bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap haiwan peliharaan berbulu seperti kucing, gecko mungkin pilihan haiwan peliharaan yang lebih baik. Tubuhnya yang menggerutu dan sedikit sejuk bukan sahaja seronok dipegang, malah sesuai untuk golongan yang mengalami asma.
Buktinya, Firdaus sendiri pernah menghadiahkan seekor gecko kepada anak perempuan seorang kenalannya yang menghidap penyakit asma.
Seorang lagi peminat Leopard Gecko, Arzairimeem Ariffin, 27, memberitahu, hasrat untuk memperkenalkan cicak kepada ahli keluarga agak sukar pada awalnya. Malah, tindakan itu seakan-akan satu tabu memandangkan bukan semua orang yang boleh menerima cicak sebagai haiwan peliharaan.
Alasannya, sudah wujud persepsi bahawa reptilia seperti ular atau cicak dikaitkan dengan elemen kejahatan sejak sekian lama.
Dia yang pernah memiliki pelbagai haiwan peliharaan seperti kucing berkata, gecko merupakan reptilia pertamanya. Kalau dahulu, mereka yang membela gecko dianggap golongan eksentrik, kini, memiliki reptilia dikira satu hobi cukup berbaloi.
"Tidak sukar untuk menjaganya. Gecko hanya perlukan benda-benda asas seperti air, rumah yang tidak terlalu besar, tempat bersembunyi dan makanan," jelasnya sambil memberitahu makanan kegemaran gecko ialah cengkerik dan ulat seperti superworm dan mealworm.
Arzairimeem yang mula membela gecko lebih setahun yang lalu juga telah menghabiskan hampir RM10,000 untuk koleksi gecko peribadinya. Dia yang menetap di Subang memberitahu, nilai itu berbaloi memandangkan setiap ekor gecko adalah berbeza dari segi corak dan warnanya.
Panik
Jangan sesekali membuatkan gecko terkejut. Sebabnya gecko pun tahu panik. Pengalaman seorang lagi peminat gecko, Kurt Koh, 32, menceritakan segalanya. Pernah sekali, gara-gara terkejut, seekor gecko miliknya terjun dari tingkat 35 sebuah kondominium dan mati.
"Apabila gecko rasa terancam, ia akan melompat dan melarikan diri. Seperti manusia, gecko pun perlu membina rasa percaya dengan tuannya. Kalau mood tidak baik, warna badannya juga akan bertukar menjadi lebih gelap," katanya yang bekerja sebagai pengurus kanan projek.
Kurt telah lima tahun berjinak-jinak dalam hobi ini. Dia kini memiliki koleksi gecko lebih 30 ekor yang bernilai hampir RM21,000 mengakui hobinya itu sering mendapat perhatian rakan-rakan.
Soalan pertama yang ditanya biasanya ialah "Eee... Apa tu?" Tetapi, apabila sudah diberitahu dan diberi peluang untuk memegangnya, ramai pula yang berminat membelinya. Membela gecko sekadar berseronok, dia akan menghadiahkan reptilia berwarna-warni itu kepada rakan-rakan sekiranya ada lebih.
Namun begitu, jika tidak bernasib baik, gecko yang bunting mungkin mati jika gagal mengeluarkan telur dalam keadaan yang sempurna. Sedangkan jangka hayat seekor gecko betina ialah separuh daripada tempoh hidup gecko jantan yang boleh mencecah sehingga 25 tahun.
0 comments:
Post a Comment